skip to main |
skip to sidebar
Penyakit Jantung Bukan Lagi Penyakit Orang Tua
KETIKA bersukan, tiba-tiba dia rebah dan tidak sedarkan diri.
Beberapa minit kemudian, lelaki berusia 30-an itu disahkan meninggal
dunia akibat serangan jantung.
Sering menjadi tanda tanya di kalangan kita apabila mereka yang
sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, tiba-tiba dilaporkan
meninggal dunia kerana diserang sakit jantung yang dianggap penyakit
orang tua.
Atlet, iaitu individu yang dianggap mengamalkan gaya hidup sihat,
juga mungkin boleh mendapat sakit jantung jika mempunyai masalah
kongenital (penyakit sejak lahir) yang menyebabkan kematian mengejut
akibat serangan jantung berikutan gangguan ritma jantung (rhythm
abnormality).
Ternyata penyakit jantung yang sering
dikaitkan sebagai penyakit orang tua, kini makin banyak dialami orang
muda seawal usia 30-an.
Perunding Kardiologi Hospital Pantai Klang, Dr Suhaimi Osman, berkata
faktor genetik mendedahkan seseorang kepada penyakit pembunuh nombor
satu di Malaysia itu.
Jika ada ahli keluarga atau ibu bapa menghidap sakit jantung, anaknya mungkin berdepan kemungkinan sama pada masa akan datang.
Faktor lain yang mendedahkan seseorang kepada penyakit berkenaan
ialah merokok (risiko paling tinggi), diabetes, kolesterol dan tekanan
darah tinggi.
“Walaupun banyak faktor boleh menyebabkan sakit jantung, sering kita
lupa ialah faktor sejarah keluarga kerana mereka yang mempunyai ahli
keluarga menghidap sakit jantung, mempunyai risiko besar mendapat
penyakit berkenaan.
“Impak mendapat sakit jantung bagi mereka yang mempunyai sejarah
keluarga sama dengan pesakit jantung yang disebabkan amalan merokok.
“Malah, jika seseorang itu merokok, menghidap diabetes, mempunyai
kolesterol tinggi serta penyakit darah tinggi, digabung faktor sejarah
keluarga, risiko dia mendapat sakit jantung makin berganda,” katanya.
Menurutnya, ada lebih 20 ciri genetik diketahui sekarang, menyebabkan
mereka mudah terkena sakit jantung dan lebih berisiko berbanding orang
lain.
“Individu yang mempunyai sejarah keluarga berisiko tinggi jika
bapanya mendapat sakit jantung pada usia muda iaitu ketika berusia tidak
sampai 50 tahun atau ibunya diserang ketika berusia kurang 55 tahun.
“Adakalanya tanpa faktor risiko pun, seseorang boleh mendapat sakit
jantung. Misalnya, satu kajian membabitkan kira-kira 120,000 individu
yang pernah menghidap sakit jantung koronari mendapati, 15 peratus
wanita dan 19 peratus lelaki tidak mempunyai faktor risiko yang
dikenali. Faktor genetik yang belum dikesan, disyaki memainkan peranan
dalam kes sebegini,” katanya.
Beliau berkata, kajian terhadap tahap kolesterol, trigliserid (lipid
atau lemak neutral daripada gliserol bergabung dengan tiga molekul asid
lemak), lipoprotein (satu daripada sekumpulan protein di dalam plasma
darah dan limfa yang bergabung dengan lemak lain seperti kolestrol),
low-density lipoprotein (LDL – kolestrol jahat) dan (high density
lipoprotein – kolestrol baik) di kalangan individu yang mempunyai
sejarah keluarga sakit jantung turut mendapati mereka memang mempunyai
kecenderungan untuk mendapat penyakit itu.
“Mereka yang mengalami sindrom metabolik iaitu mengalami obesiti,
trigliserid tinggi dan menghidap darah tinggi yang menyebabkan radang
pada pembuluh darah turut terdedah kepada sakit jantung.
“Jika tiada sakit jantung, tetapi ujian high-sensitivity C-Reactive
Protein (hs-CRP) yang dijalankan ke atasnya tinggi, dia turut berisiko
mendapat sakit jantung.
“Ujian hs-CRP boleh mengesan lebih tepat kepekatan protein yang lebih
rendah dan digalakkan sesetengah pihak sebagai ujian untuk menentukan
tahap risiko yang berpotensi untuk penyakit kardiovaskular, serangan
jantung dan strok,” katanya.
Beliau berkata, genetik ialah faktor utama untuk risiko sakit
jantung. Ia seperti penyakit keturunan lain seperti jika dalam keluarga
ibu bapa mempunyai diabetes, anaknya mungkin menghidap penyakit sama.
Begitu juga dengan kolesterol tinggi dan merokok. Dalam sebuah
keluarga yang sosial ekonominya rendah, didapati risiko juga bertambah
dan faktor stres juga menambah risiko melalui hormon adrenergik yang
dikeluarkan kelenjar suprarenal apabila di bawah stres.
“Perbezaan jantina ialah lelaki mendapat risiko sakit jantung lebih
awal. Perempuan mendapat perlindungan daripada hormon estrogen tapi
selepas menopaus, risiko mereka terdedah sakit jantung sama seperti
lelaki,” katanya.
Menurutnya, salur darah perempuan juga lebih kecil daripada lelaki.
Oleh itu, gejala dialami wanita mungkin berbeza dengan lelaki.
Antara gejala sakit jantung dialami wanita ialah tiba-tiba rasa
berpeluh sejuk, sesak nafas, rasa sakit antara tulang belakang, sakit
tengkuk, bawah dagu, tepi lengan, belakang dan perut.
“Ramai wanita beranggapan sakit jantung penyakit lelaki, jadi mereka
tidak menyangka diserang sakit jantung hingga lambat mendapatkan
rawatan. Apabila penyakit disedari, ia lebih susah dirawat.”
“Salur darah koronari wanita lebih kecil menyebabkan mereka lebih
sukar dirawat secara angioplasti, di mana sten dimasukkan ke dalam salur
darah untuk mengembalikan pengaliran darah yang lancar di dalam
pembuluh darah.
“Jika angioplasti tidak dapat dijalankan, rawatan perubatan atau
medical therapy adalah pilihan rawatan bagi mereka. Pesakit lelaki lebih
berkemungkinan mendapat sakit dada ketika serangan jantung berbanding
wanita, dan biasanya akan didiagnosis lebih awal,” katanya.
Dr Suhaimi berkata, tekanan emosi berlebihan boleh menjadi beban kepada jantung dan boleh melemahkan jantung.
Emosi juga antara penyebab sakit jantung, misalnya dalam mesyuarat
atau terbabit pergaduhan, tekanan darah naik dan menyebabkan beban
kepada jantung, seterusnya menyebabkan berlaku sakit jantung.
“Setiap individu, walaupun baru berusia 25 tahun, digalakkan membuat pemeriksaan darah dan ECG (diagnosis penyakit jantung).
“Pemeriksaan darah dapat mengesan masalah kolesterol dan diabetes.
Jika kolesterol terlalu tinggi dan seseorang itu perokok walaupun
usianya 20-an, dia mungkin diserang sakit jantung,” katanya.
“Yang kita perlu faham mengenai sakit jantung ialah, mencegah lebih
baik daripada merawat. Pengesanan serangan sakit jantung pada peringkat
awal daripada gejala dialami membolehkan rawatan sewajarnya dijalankan.
“Rawatan untuk memulihkan sakit jantung seperti pintasan (bypass) dan
sten, tidak boleh bertahan selama-lamanya. Ia tidak sama dengan yang
asli kerana pintasan jantung mungkin tersumbat 10 atau 15 tahun
kemudian.
“Pesakit yang mempunyai ibu mendapat serangan jantung sebelum 55
tahun, perlu berhati-hati kerana risiko untuknya mendapat sakit jantung
lebih tinggi dan pemeriksaan awal perlu dijalani. Mereka yang ada
kolesterol tinggi kadangkala boleh dilihat dengan tanda kolesterol di
mata,” katanya.
Gaya hidup sihat membantu mengawal faktor risiko sakit jantung.
Hentikan tabiat merokok serta elakkan makan terlalu banyak daging merah
seperti lembu dan kambing, produk tenusu seperti krim dan mentega kerana
semua jenis lemak tepu boleh ditukar kepada kolesterol.
Sumber: Harian Metro
*******BULAN DISEMBER 2013 PROMOSI OMEGA GUARD SHAKLEE *******
Dapatkan omega guard shaklee dengan harga promo yang sangat berbaloi2 hari ini..
retail price rm130++
promo price rm90+
FOR INFO &ORDER
SMS/WHATAPP:0196066152
0 comments:
Post a Comment